Wednesday, April 20, 2011

Kemana Halatuju pendidikan negara

Asalamualikum semua pembaca , disini saya ingin kongsikan halatuju kemahiran negara...perancangan demi perancangan telah dilakukan dengan mengadakan Pusat latihan kemahiran awan seperti ILP,IKBN,IKM bagi menjayakan misi negara bagi melahirkan tenaga kerja mahir.....tetapi setakat manakah perkembangan mereka ...Adakah keluaran bidang kemahiran mendapat sambutan dari kerajaan sendiri...sedangkan mereka mampu memberikan impak yang jauh baik dari bidang akademik...bidang kemahiran negara perlu diberikan penghargaan dan penjenaamaan agar tenaga mahir negara dapat diiktraf bukan sahaja peringkat nasional malah antarabangsa........tunggu sambungan akan datang...

Monday, October 18, 2010

Pendidikan Awal Kemahiran Pekerjaan Perlu Di terapkan Lebih Awal

BERITA HARIAN, 8 April 2010

KEMENTERIAN Pelajaran akan mengenal pasti kecenderungan pelajar terhadap bidang vokasional dan teknikal seawal Tingkatan Satu bagi membolehkan mereka memasuki jurusan itu untuk memenuhi keperluan tenaga kerja separa mahir dan mahir.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata melalui cara itu pelajar yang tidak cenderung dalam akademik boleh disalurkan ke sekolah vokasional dan teknik selepas menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR), berbanding sekarang sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau yang juga Menteri Pelajaran, berkata Malaysia berminat mencontohi sistem pendidikan Perancis yang agak luar biasa apabila 50 peratus pelajarnya yang kurang berminat dalam bidang akademik, disalurkan ke aliran vokasional dan teknik. Di Malaysia, katanya, hanya 10 peratus pelajar mengikuti aliran itu.

Perkara itu turut dibincangkan Muhyiddin dalam pertemuan dengan Menteri Pelajaran Perancis, Luc Chatel di sini, kelmarin.

"Di Perancis, bidang vokasional dan teknikal diberi perhatian apabila pelajar yang cenderung dalam bidang itu diambil lebih awal.

"Kita akan meneliti perkembangan pelajar kita dari Tingkatan Satu dan sebelum Tingkatan Tiga,” katanya kepada pemberita sebelum menghadiri hari kedua Sesi ke-184 Mesyuarat Lem-
baga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di sini, semalam.

Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran mengumumkan akan menukar status 68 daripada 87 sekolah teknik menjadi sekolah vokasional bermula tahun depan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Perancis turut berminat mempelajari kaedah penyediaan sekolah berasrama penuh seperti di Malaysia untuk pelajar miskin cemerlang di negaranya.

Sementara itu, berucap pada sesi Ke-184 Unesco, semalam, Muhyiddin mendesak negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Kumpulan Negara Maju (G-20) merangka pelan tindakan untuk membantu negara kurang membangun dalam bidang pendidikan, supaya sasaran pendidikan untuk semua (EFA) tercapai menjelang 2015.

Katanya, bantuan negara maju semakin mendesak berikutan tempoh untuk mencapai sasaran EFA hanya tinggal kurang lima tahun.

Muhyiddin diberi penghormatan sebagai perwakilan pertama berucap pada mesyuarat itu.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, program pembangunan bidang pendidikan untuk negara kurang membangun melalui inisiatif Dana Amanah Kerjasama Malaysia-Unesco yang menyaksikan Malaysia membantu melatih dan membina keupayaan guru negara terbabit akan dilancarkan pada Jun ini.

Katanya, bagi menjayakan rancangan itu, Malaysia akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Ketua Pengarah Unesco, Irina Bokova di Kuala Lumpur, pertengahan tahun ini.

Melalui inisiatif itu, Malaysia memperuntukkan US$5 juta sebagai geran pelancaran, bertujuan memastikan matlamat EFA tercapai. Selain itu, kerajaan turut menyumbang US$S1 juta setiap tahun kepada dana berkenaan.

Pengumuman mengenai komitmen Malaysia itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menghadiri Persidangan Agung Unesco ke-35, September tahun lalu

Latihan Vokasional Perlu Penyelarasan Kerajaan

UTUSAN MALAYSIA, 18 MEI 2010

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan SITI MAISARAH SHEIKH ABD.RAHIM pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 17 Mei - Kerajaan akan menubuhkan sebuah Majlis Penyelarasan Kemahiran Kebangsaan bertujuan merancang dan melaksanakan latihan kemahiran membabitkan agensi-agensi kerajaan.

Majlis yang dipengerusikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam itu bertujuan menyediakan sumber tenaga mahir yang dapat memenuhi keperluan tenaga industri.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, majlis tersebut akan bertindak mengarusperdanakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional supaya mempunyai prospek yang setaraf dengan aliran pendidikan dan fleksibel.

''Dari sudut tenaga mahir dalam bidang teknologi maklumat (IT), kita berpendapat ini satu dari sektor kecil yang penting dalam mewujudkan sebuah Model Ekonomi Baru (MEB).

''Jadi, kita setuju program 'bridging' dipergiatkan untuk beri keseimbangan dari segi teori dan kita setuju MDEC memainkan peranan untuk mengambil langkah sewajarnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan kali Kedua. Hadir sama Subramaniam dan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum.

Muhyiddin menambah, setiap tahun seramai 26,366 orang atau enam peratus pelajar dikategorikan sebagai pelajar berprestasi akademik rendah yang bagaimanapun mungkin memiliki kemahiran dan kecenderungan dalam bidang kemahiran teknikal.

''Kita setuju supaya Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran menerusi program Kolej Komuniti bekerjasama rapat untuk menawarkan program kemahiran kepada pelajar," katanya. Beliau berkata, MEB yang dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi dengan ciri keterangkuman dan kebolehmampanan menjelang 2020.

Justeru, kata beliau, usaha untuk membangunkan modal insan berkualiti bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi adalah mencabar dan memerlukan perancangan rapi kerana negara hanya mempunyai 23 peratus tenaga mahir.

''Pada tahun lalu kadar kebolehpasaran di kalangan siswazah kurang memuaskan apabila sebanyak 27 peratus daripada graduan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan masih menganggur selepas konvokesyen," katanya.

Menurutnya, mereka yang berjaya mendapat pekerjaan adalah sebanyak 29 peratus pada tahun 2006 dan 33 peratus pada tahun 2009. Kebanyakan terdiri daripada siswazah yang memperoleh pendapatan kurang RM1,500.

Muhyiddin menegaskan, dalam konteks ini negara bukan sekadar memberi penekanan kepada pertambahan bilangan tetapi kualiti pendidikan dan latihan supaya lepasan institusi pendidikan dan latihan dapat memenuhi keperluan industri.

''Tumpuan dalam pembangunan sumber manusia akan dijuruskan kepada pengukuhan kualiti pendidikan dan latihan di semua peringkat. Penekanan kepada pembangunan fizikal akan dikurangkan," katanya.

Latihan Vokasional Perlu Jadi Pendidikan Kelas Pertama

BERITA HARIAN, 18 MEI 2010

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Penyelarasan Kebangsaan akan ditubuhkan bagi mengarus perdana latihan kemahiran vokasional dan teknikal bagi meningkatkan tarafnya selain memastikan tidak berlaku pertindihan penawaran kursus oleh pelbagai agensi kerajaan. Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa sekarang kira-kira 100,000 pelajar memilih untuk terus memasuki pasaran kerja selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun kerajaan menyediakan latihan kemahiran vokasional dan teknikal yang mencukupi untuk mereka.

"Peratusan pekerja mahir di negara kita hanya 25 peratus berbanding 40 peratus di Singapura dan 33 peratus di Korea Selatan. Justeru, kita perlu mengubah persepsi rendah masyarakat terhadap pendidikan teknikal dan vokasional sekiranya mahu modal insan yang sesuai untuk Model Ekonomi Baru (MEB) negara.

"Kita juga dapati berlaku pertindihan dalam 189 daripada 469 kursus yang ditawarkan pelbagai agensi kerajaan manakala 75 peratus daripada latihan yang disediakan adalah di peringkat rendah iaitu Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2, sedangkan ia tidak memadai dalam agenda negara mencapai status negara maju.

"Jawatankuasa ini juga akan menyelaras kerangka latihan merangkumi kualiti tenaga pengajar, penyelarasan pembangunan kurikulum dan peningkatan kualiti sijil kemahiran," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, yang akan mempengerusikan Majlis Penyelarasan Kebangsaan itu. MEB bagi menjadikan Malaysia negara sebagai ekonomi berpendapatan tinggi adalah mencabar kerana pada masa ini hanya 23 peratus daripada tenaga kerja tempatan yang berkemahiran khusus manakala kebolehpasaran siswazah pula kurang memuaskan.

Beliau berkata, pada 2009, 27 peratus siswazah institusi pengajian tinggi tempatan masih menganggur ketika konvokesyen iaitu dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian dan 33 peratus yang mendapat pekerjaan pula hanya memperoleh pendapatan kurang RM1,500. Sehubungan itu, katanya, penekanan tidak harus diberi terhadap pertambahan bilangan saja, sebaliknya yang lebih penting ialah kualiti pendidikan dan latihan selepas tamat pengajian yang diselaras mengikut permintaan pasaran kerja.

Antara lain, Muhyiddin mengesyorkan tumpuan terhadap bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT) bagi melahirkan modal insan bernilai tinggi dan berpendapatan tinggi kerana sektor itu disasar menyediakan 92,545 peluang kerja pada 2012 berbanding 73,784 peluang kerja tahun ini.

"Bagaimanapun, pada 2009, negara terpaksa mengambil 5,405 tenaga asing bagi sektor ICT tempatan dan kita sudah arahkan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) mengambil langkah perlu bagi mengatasi masalah ini, terutama dari segi teori, perkakasan dan keperluan industri," katanya.

Kajian Perlaksanaan Sekolah Kemahiran Di Paris

UTUSAN MALAYSIA, 8 April 2010

PARIS 7 April - Kerajaan akan meneliti dan mempelajari pengalaman Perancis yang berjaya menarik 50 peratus daripada para pelajarnya mengikuti persekolahan aliran vokasional berbanding hanya 10 peratus di Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, antara bakal dilakukan kerajaan untuk meningkatkan jumlah pelajar di sekolah vokasional di Malaysia ialah mengenal pasti kecenderungan pelajar terhadap bidang tersebut sejak sekolah rendah atau menengah rendah. Menurutnya, peningkatan jumlah pelajar daripada aliran vokasional amat penting untuk menampung keperluan negara pada masa depan berikutan penumpuan kerajaan pada masa ini terhadap sektor perindustrian berteknologi tinggi.

Jelasnya, hasrat Malaysia untuk bekerjasama dengan Perancis dalam bidang pendidikan khususnya berkaitan aliran vokasional itu disampaikan beliau semasa mengadakan kunjung hormat ke atas rakan sejawatnya, Luc Chatel di pejabatnya di sini semalam.

"Chatel memaklumkan bahawa di Perancis, kerajaan menyediakan sekolah-sekolah yang mencukupi untuk menampung kemasukan 50 peratus daripada keseluruhan pelajar-pelajarnya dalam sekolah aliran vokasional bagi memastikan tenaga kerja separuh mahir dan mahir dapat disediakan untuk sektor industri.

"Di Malaysia, bukan sahaja peratusan pelajar vokasional kita masih kecil iaitu 10 peratus malah kemudahan dan kelengkapan pembelajaran untuk pendidikan berasaskan kemahiran di sekolah berkaitan perlu ditambah," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, pada masa ini kebanyakan pelajar di Malaysia masih kurang berminat memasuki sekolah-sekolah vokasional kerana ia masih dianggap sebagai sekolah menempatkan pelajar-pelajar yang tercicir dalam akademik semata-mata.

Sehubungan itu, tambahnya, Kementerian Pelajaran akan memantapkan sekolah-sekolah vokasional dan mengkaji untuk menambah lebih banyak sekolah aliran itu.

Menurutnya, ini bagi memastikan infrastruktur secukupnya disediakan terlebih dahulu sebelum Malaysia mencapai peratusan pelajar aliran vokasional yang tinggi seperti di Perancis.

"Kementerian akan memulakan usaha ke arah meningkatkan jumlah pelajar vokasional ini dengan mengenal pasti pelajar-pelajar yang kurang berminat dalam akademik bermula dari sekolah rendah atau tingkatan satu, dua dan tiga untuk dimasukkan ke aliran vokasional.

"Usaha menggalakkan dan memantapkan sekolah vokasional dalam sistem persekolahan penting untuk Malaysia memenuhi permintaan industri pada masa depan selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, Malaysia juga bercadang untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan negara ini bagi kerjasama melatih guru-guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam bahasa Perancis bagi keperluan mengajar pelajar-pelajar dalam bahasa itu sebagai subjek pilihan.

Tambahnya, dalam pertemuan dengan Chatel semalam, turut dibincangkan adalah mengenai bagaimana melaksanakan pendidikan asas bermula dari prasekolah dan usaha mengurangkan buta huruf atau kegagalan menguasai kemahiran membaca, mengira dan menulis (3M) di kalangan pelajar.

Menurutnya, kerjasama dalam bidang berkaitan dengan Perancis amat penting dalam usaha Malaysia mencapai matlamat setiap murid sudah menguasai 3M ketika berada dalam tahun tiga persekolahan.

"Chatel pula ingin berkongsi pengalaman dengan Malaysia dalam menyediakan sekolah berasrama berikutan cadangan Perancis untuk membuka sekolah-sekolah sedemikian bagi kemudahan anak-anak penduduk miskin di negara ini," katanya. - utusan

Pelajar Kemahiran mampu bergaji tinggi

INISIATIF Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadikan sistem pendidikan vokasional di Perancis sebagai model dalam sistem pendidikan di Malaysia adalah sangat signifikan dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara strategi MEB adalah meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia dengan fokus ditumpukan kepada golongan kurang bernasib baik. Selain daripada golongan miskin dan orang kurang upaya, mereka yang mencapai tahap akademik yang rendah juga boleh digolongkan sebagai kurang bernasib baik. Justeru, dengan memberikan mereka pendidikan vokasional dan kemahiran, pelajar yang tercicir akademik juga boleh menikmati pendapatan tinggi.

Masyarakat sewajarnya juga memberi sokongan padu terhadap misi kerajaan untuk menambah jumlah peratusan pelajar aliran vokasional dan mengenal pasti mereka yang berpotensi mengikuti aliran tersebut daripada tingkatan satu lagi. Malahan saya berpendapat usaha mengenal pasti kecenderungan pelajar memilih aliran vokasional sewajarnya bermula dari sekolah rendah lagi dan mereka disalurkan ke aliran vokasional bermula dari tingkatan satu.

Persepsi masyarakat yang meletakkan pelajar aliran vokasional sebagai kelas kedua atau pelajar tercicir tidak lagi sepatutnya timbul. Ini kerana pelajar yang mengikuti aliran vokasional adalah berdasarkan bakat dan minat, bukan lagi keputusan peperiksaan.

Penulis juga mencadangkan agar kerajaan dalam proses pemilihan pelajar memasuki aliran vokasional turut membuka peluang kepada pelajar cemerlang. Satu ujian berdasarkan bakat dan kebolehan hendaklah dijalankan untuk mengenal pasti bakat dan aliran yang diminati oleh pelajar. Dengan cara ini, pendidikan vokasional akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana pelajar yang dipilih memasuki aliran tersebut bukan kerana mereka tidak mencapai tahap kecemerlangan akademik tetapi berdasarkan kebolehan psikomotor cemerlang mereka.

Daripada segi infrastruktur, saya bersetuju dengan kenyataan Muhyiddin bahawa infrastruktur komprehensif perlu disediakan terlebih dahulu sebelum sistem pendidikan vokasional secara insentif dilaksanakan. Selain itu, kerajaan juga sewajarnya mempertimbangkan sumber tenaga pengajar untuk menyokong kelancaran pelaksanaan aliran vokasional di negara ini. Begitu juga dengan model kurikulum vokasional yang hendak dirujuk dan diguna pakai. Selain daripada Perancis, disarankan kerajaan melihat beberapa negara lain di Eropah dan Amerika. Ini kerana berdasarkan fakta sejarah pendidikan vokasional yang berdasarkan latihan, ia bermula di Switzerland pada tahun 1740-an dan berkembang pesat di AS pada 1800 hingga 1900. Di AS, terdapat negeri yang mendedahkan pendidikan vokasional di peringkat rendah dan fokus pendidikan vokasional mereka berteraskan pekerjaan.

Bagi sumber tenaga pengajar, kerajaan sebenarnya telah mempunyai modal insan yang ramai, berkemahiran dan berdaya saing. Ini kerana sistem pendidikan teknik, vokasional dan kemahiran bukanlah asing di Malaysia, malah telah bermula sejak awal 1900-an lagi.

Pada masa ini, pelajar dan graduan aliran teknik, vokasional dan kemahiran dilahirkan antaranya dari Kementerian Sumber Manusia (Institusi Latihan Perindustrian), Pusat Latihan Teknologi Tinggi, Pusat Latihan Pengajar dan Latihan Lanjutan dan Institut Teknikal Jepun Malaysia ); Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Institut kemahiran Mara dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Pusat Giat Mara); Kementerian Belia dan Sukan (Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara); Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Kolej Pertanian dan Institut Pertanian) serta institut pendidikan swasta seperti German Malaysian Institute dan Malaysia France Institute. Dalam erti kata lain, Malaysia mempunyai modal insan yang mencukupi untuk menjadi tenaga pengajar dalam sistem pendidikan vokasional di negara ini.

Kalau dahulu, dalam konteks pelaksanaan PPSMI, kerajaan terpaksa melatih semula guru-guru dalam melaksanakan dasar tersebut, adalah diyakini kerajaan tidak lagi perlu melatih semula guru-guru sedia ada kerana institut pendidikan teknik dan vokasional seperti UTHM, UTM dan UPM telah pun melatih dan melahirkan guru-guru yang berketerampilan untuk mengajar pendidikan vokasional.

Aspirasi kerajaan dapat direalisasikan hanya dengan menambah kemasukan guru pelatih baru ke institusi-institusi pendidikan teknikal dan kami akan menyambutnya dengan inspirasi melahirkan guru profesional yang bersahsiah mulia dan berdaya saing di arena glokal.

Oleh itu, saya berpendapat adalah sangat tepat usaha kerajaan untuk meletakkan pendidikan vokasional berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pendidikan akademik.

Dr. Ahmad Esa
Fakulti PendidikanTeknikal, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Halatuju kemahiran Negara 2011 hingga 2015

Sila baca petikan berita dibawah ini...

Insentif khas martabat semula vokasional
2010/03/23

Kemahiran, minat pelajar perlu dicungkil peringkat awal agar dapat penuhi pasaran kerja

KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyediakan insentif khas kepada kelompok pelajar yang tercicir amat bertepatan dengan hasrat untuk meningkat modal insan negara.

Inisiatif khas ini ditujukan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang dan gagal untuk menyambung pelajaran, berkemampuan untuk menguasai salah satu kemahiran bagi membuka peluang kerjaya kepada mereka. Menurut statistik pencapaian keputusan SPM 2009, seramai 4,626 daripada 465,853 calon yang menduduki peperiksaan, gagal atau memperoleh gred G.

Dua tahun lalu, pihak kerajaan turut melahirkan rasa bimbang dengan lebih 83,000 pelajar sekolah rendah hingga Tingkatan Lima yang mengalami keciciran daripada sistem persekolahan negara. Ini bermakna, setiap tahun seramai 7,545 pelajar tercicir daripada arus pendidikan.

Walaupun nampak kecil peratusannya, yang pasti, ia tidak seharusnya berlaku jika semua pihak mengambil langkah pemulihan awal setiap tahun. Justeru, cadangan kerajaan untuk menyediakan insentif khas itu amat baik.

Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap masa depan pelajar terbabit dan tidak hanya kepada kelompok yang cemerlang akademik semata-mata. Apatah lagi dalam realiti masyarakat yang terlalu memberi tumpuan kepada kelompok pelajar cemerlang akademiknya. Adalah suatu yang mendukacitakan jika kita masih beranggapan bahawa, hanya pencapaian cemerlang dalam akademik saja sebagai penentu kepada kejayaan dalam kehidupan.

Begitu juga, adalah suatu yang amat tidak tepat sekiranya hanya kumpulan yang cemerlang dalam akademik saja mampu menjadi warga berguna. Jika persepsi ini tidak berubah, usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan modal insan berjalan dengan sempurna tidak mungkin akan tercapai. Seterusnya, bilangan keciciran setiap tahun tidak akan mempunyai jalan penyelesaian.

Untuk itu, insentif khas berupa laluan pendidikan menitikberatkan latihan kemahiran vokasional difikirkan mampu untuk membentuk individu agar berdikari dalam menempuh kehidupan tanpa mengambil kira pencapaian akademik.

Bagaimanapun, dicadangkan insentif khas itu perlu dimulakan lebih awal lagi dan tidak menunggu sehingga mereka menamatkan Tingkatan Lima. Menunggu sehingga tamat Tingkatan Lima dikhuatiri terlalu lewat untuk kelompok pelajar lemah akademik ini dihalakan minat ke arah kemahiran vokasional. Ini kerana keciciran pelajar berlaku lebih awal lagi seperti dilaporkan sebelum ini.

Justeru, berikut dikemukakan cadangan untuk pihak pelaksana dasar dalam merangka bentuk insentif khas berkenaan. Apa yang penting ialah insentif khas mestilah mampu memastikan setiap insan mendapat pembelaan sewajarnya untuk kepentingan negara di masa depan.

Insentif khas itu perlulah dimulakan pada peringkat lebih awal lagi bagi mengimbangi tumpuan pendidikan pada peringkat sekolah agar tidak menjurus kepada kecemerlangan akademik semata-mata. Untuk itu, sistem pendidikan perlu menjurus kepada eksplorasi minat pelajar. Guru, di samping memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, harus juga berusaha mengenal pasti kecenderungan dan minat pelajar. Jika perlu, kad minat pelajar perlu diwujudkan untuk setiap pelajar.

Setiap pelajar hendaklah dipastikan tidak harus berasa tersisih atau disisihkan hanya disebabkan pencapaian akademik tidak memuaskan. Oleh itu, insentif khas juga harus diberi setiap tahun di hari penyampaian hadiah kepada mana-mana pelajar yang didapati mempunyai kelebihan, bakat dan kreativiti dalam bidang kemahiran yang dikenal pasti.

Mata pelajaran kerjaya harus diperkenalkan seawal Tingkatan Satu dengan memperkenalkan bentuk pekerjaan dan kepentingannya berdasarkan keperluan negara. Ini akan memberi gambaran awal bahawa keperluan tenaga kerja negara tidak hanya tertumpu kepada tahap pencapaian akademik yang cemerlang.

Dalam tempoh tiga tahun iaitu dari Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Tiga, pihak sekolah harus mengenal pasti kumpulan yang benar-benar tidak berkemampuan dalam akademik. Kumpulan ini harus dibimbing dan didorong untuk mengenal pasti pilihan bidang kemahiran yang diminati berdasarkan kepada corak keperluan tenaga kerja negara di masa depan mengikut sektor.

Laluan kerjaya setiap bidang kemahiran harus diberi gambaran dengan jelas dalam mata pelajaran kerjaya yang diperkenalkan dalam tempoh tingkatan satu hingga tingkatan tiga itu. Ini bertujuan memberi harapan kepada pelajar yang memilih bidang kemahiran tertentu bahawa, di sana masih ada peluang luas untuk meningkatkan tahap kerjaya dari semasa ke semasa.

Guru kaunseling hendaklah bukan sekadar menyediakan maklumat kerjaya ke institusi pengajian tinggi kepada mereka yang cemerlang akademik, tetapi perlu dilengkapkan diri dengan maklumat berkaitan peluang latihan di Institusi Latihan Kemahiran Awam seperti Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara dan Pusat Giat Mara. Institusi ini bakal menjadi pilihan pelajar mempunyai pencapaian akademik sederhana.

Bagi menarik minat pelajar, seterusnya meyakinkan masyarakat keseluruhannya untuk memilih pendidikan vokasional, tiada jalan lain melainkan berusaha memperkasakan dan memartabatkan kembali pendidikan vokasional ini. Kerajaan sedaya upaya perlu memastikan pendidikan vokasional ini tidak menjadi bentuk pendidikan kelas dua.

Untuk itu, kerajaan disarankan untuk mempertimbangkan langkah seperti mewujudkan pelan pendidikan kemahiran vokasional komprehensif; meningkatkan keupayaan pendidikan vokasional dan jika perlu, melakukan penjenamaan semula ke atas institusi latihan kemahiran vokasional tertentu.

Bagi memastikan kemahiran vokasional yang dimiliki diguna pakai sepenuhnya, kerajaan perlu memastikan lulusan vokasional tempatan tidak hilang. Ini boleh dilakukan dengan menggubal polisi tertentu yang mewajibkan setiap sektor mengutamakan pekerja mahir lulusan vokasional tempatan serta, pada waktu sama mengehadkan penggunaan pekerja asing di setiap sektor secara berperingkat.

Bagi memberi keyakinan kepada pelajar supaya memilih pendidikan vokasional, kerangka kerjaya yang jelas khusus untuk lulusan kemahiran vokasional wajar diwujudkan, meliputi skim perkhidmatan menyeluruh dalam perkhidmatan awam.

Insentif juga harus difikirkan kepada guru vokasional atau guru yang bertanggungjawab terhadap mata pelajaran vokasional. Elaun kritikal serta dipermudahkan urusan kenaikan pangkat patut diberi keutamaan dalam perancangan pendidikan, dan institusi perguruan yang menjadikan pendidikan vokasional sebagai keutamaan perlu diwujudkan segera.

Institusi ini akan menjadi medan untuk melatih guru vokasional yang bukan saja untuk sekolah, bahkan juga untuk meningkatkan kualiti tenaga pengajar di institusi latihan kemahiran. Wujudkan panel pendidikan vokasional yang terdiri daripada wakil di setiap kementerian yang mempunyai pusat latihan kemahiran vokasional mengikut sektor.

Ini akan mengeratkan lagi hubungan di antara pihak sekolah dengan institusi latihan kemahiran berkaitan, seterusnya melicinkan lagi proses kemasukan di setiap institusi latihan kemahiran ini.

Kita harus menerima hakikat bahawa latar belakang akademik tidak seharusnya dijadikan kayu ukur dalam usaha pembinaan modal insan. Pembinaan modal insan hendaklah meliputi setiap individu, dan ini harus difahami semua. Hanya pendekatan, corak pendidikan serta penghayatan semua pihak yang menjadi strategi penentu untuk merealisasi misi.

Dengan bilangan yang menamatkan tingkatan lima setiap tahun melebihi 450,000, sudah pasti kita tidak ketandusan insan sebagai penggerak negara masa depan. Justeru, perancangan untuk memulakan langkah pendidikan vokasional lebih awal adalah suatu yang amat bertepatan dan memantapkan lagi kemasukan ke puluhan institusi latihan kemahiran yang sedia wujud dalam negara.

Kita mengharapkan tiada lagi keciciran selepas latihan kemahiran vokasional diperoleh. Moga usaha mengelakkan keciciran dalam pendidikan akan disusuli dengan usaha untuk memastikan tidak berlakunya keciciran kemahiran pula selepas itu.

Penulis ialah Pensyarah, Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM)